Warkah daripada,
Guru Besar,
SK Penghulu Salleh.
SK Penghulu Salleh.
11 OGOS 2015
Ke hadapan anakanda calon UPSR SK Penghulu Salleh 2015 yang dikasihi.
Anakanda,
Ayahanda doakan agar
anakanda dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan UPSR
pada 08 hingga 10 September 2015
nanti. Ayahanda harapkan agar anakanda sentiasa tenang dan bersedia dari segi
mental dan fizikal untuk peperiksaan yang penting ini.
Anakanda yang dikasihi,
Hari Raya Aidilfitri telah
berlalu, bulan kemerdekaan menjelang tiba dan kini mengulangkaji pelajaran
tetap diteruskan Teruskan membuat latihan ulang
kaji yang dibekalkan oleh guru-guru sama ada latihan dari Zoom-A, buku latihan atau kertas ujian.
Ingat pesanan yang selalu ayahanda sampaikan “Latihan yang banyak, sistematik
dan berfokus akan melahirkan individu yang berkemahiran, cekap dan hebat dalam
semua bidang yang dipelajari"
Kejayaan yang hendak diperolehi memerlukan usaha dan kegigihan yang berterusan, Kini
berikan tumpuan dan fokus kepada
matapelajaran yang masih belum dikuasai. Banyakkan membuat latihan terutama tajuk/topik yang masih belum dikuasai. Bertanyalah guru dan berbincang bersama rakan
untuk menyelesaikan apa juga masalah.
Anakanda yang dikasihi,
Anakanda harus tenang
sehinggalah hari peperiksaan yang sebenar. Dapatkan
sokongan dari ibu bapa, keluarga dan
guru-guru. Minta doa restu dan
berbuat baiklah pada mereka. Anakanda juga jangan melupakan jasa mereka yang
bertungkus lumus menjadikan anakanda pandai. Semua guru bersedia untuk membantu anakanda dalam apa
jua keadaan. Mohonlah kemaafan dan doa
daripada mereka. Ayahanda yakin mereka semua akan mendoakan kejayaan
anakanda.
Nasihat ayahanda, kawal pemakanan, jaga kesihatan dan keselamatan diri. Gunakanlah masa yang masih
berbaki ini sebaik yang mungkin. Jangan buang masa. Rajinlah mengulang kaji dan berdoa.
Akhir kata sampaikan salam takzim ayahanda kepada ibu bapa atau penjaga anakanda. Semoga kita mencapai keputusan cemerlang UPSR SK Penghulu Salleh tahun ini.
Selamat menduduki peperiksaan UPSR.
Semoga kejayaan cemerlang dapat dicapai.
"SEHATI
SEJIWA"
Hari Kebangsaan 2015
Daripada ayahanda,
(HAJI SARKAWI BIN HAJI SATU)
Guru Besar,
SK Penghulu Salleh.
11 OGOS 2015