August 11, 2015

Warkah Untuk Calon UPSR SK Penghulu Salleh 2015



Warkah daripada,
Guru Besar,
SK Penghulu Salleh.
11 OGOS 2015
                                                                                   
Ke hadapan anakanda calon UPSR SK Penghulu Salleh 2015 yang dikasihi.

Anakanda,
Ayahanda doakan agar anakanda dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan UPSR pada 08 hingga 10 September 2015 nanti. Ayahanda harapkan agar anakanda sentiasa tenang dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk peperiksaan yang penting ini.

Anakanda yang dikasihi,

Hari Raya Aidilfitri telah berlalu, bulan kemerdekaan menjelang tiba dan kini mengulangkaji pelajaran tetap diteruskan Teruskan membuat latihan ulang kaji yang dibekalkan oleh guru-guru sama ada latihan dari Zoom-A, buku latihan atau kertas ujian. Ingat pesanan yang selalu ayahanda sampaikan Latihan yang banyak, sistematik dan berfokus akan melahirkan individu yang berkemahiran, cekap dan hebat dalam semua bidang yang dipelajari"

Kejayaan yang hendak diperolehi memerlukan usaha dan kegigihan yang berterusan, Kini berikan tumpuan dan fokus kepada matapelajaran yang masih belum dikuasai.  Banyakkan membuat latihan terutama tajuk/topik yang masih belum dikuasai.  Bertanyalah guru dan berbincang bersama rakan untuk menyelesaikan apa juga masalah.

Anakanda yang dikasihi,

Anakanda harus tenang sehinggalah hari peperiksaan yang sebenar. Dapatkan sokongan dari ibu bapa, keluarga dan guru-guru. Minta doa restu dan berbuat baiklah pada mereka. Anakanda juga jangan melupakan jasa mereka yang bertungkus lumus menjadikan anakanda pandai. Semua guru  bersedia untuk membantu anakanda dalam apa jua keadaan. Mohonlah kemaafan dan doa daripada mereka. Ayahanda yakin mereka semua akan mendoakan kejayaan anakanda.

Nasihat ayahanda, kawal pemakanan, jaga kesihatan dan keselamatan diri. Gunakanlah masa yang masih berbaki ini sebaik yang mungkin. Jangan buang masa. Rajinlah mengulang kaji dan berdoa.

Akhir kata sampaikan salam takzim ayahanda kepada ibu bapa atau penjaga anakanda. Semoga kita mencapai keputusan cemerlang UPSR SK Penghulu Salleh tahun ini.


Selamat menduduki peperiksaan UPSR. Semoga kejayaan cemerlang dapat dicapai.


"SEHATI SEJIWA"
Hari Kebangsaan 2015


Daripada  ayahanda,


(HAJI SARKAWI BIN HAJI SATU)
Guru Besar,
SK Penghulu Salleh.
11 OGOS 2015