July 27, 2012

Kak Engku yang saya kenal

Hari ini saya berkesempatan menemui GPK Pendidikan Khas SK Peserai YM Engku Nurhaliza bte Tengku Amri (Kak Engku).  Gembira dapat bertemu dan berbincang pelbagai perkara. Saya melihat beliau seorang yang kuat semangat, tabah dan berhati kental dalam perjuangan hidupnya sebagai pendidik, isteri dan ibu kepada tiga orang cahaya mata.

Banyak perubahan dan kejayaan kelas Integrasi Pendidikan Khas SK Peserai telah dicapai. Beliau juga merupakan pengasas kelas pendidikan khas di sekolah ini. Tidak malu jika saya katakan bahawa saya banyak belajar dari beliau khususnya dalam pengurusan kelas integrasi pendidikan khas. Jasa dan pengorbanan beliau dalam memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak kurang upaya selama ini sangat saya hargai.

Hampir lapan tahun berada di sekolah ini, saya cuba sedaya upaya memberi sokongan dan bantuan sebaik mungkin.  Saya masih ingat kami membina sendiri bilik air di dalam bangunan ini.  Alhamdulillah pelbagai dugaan, cabaran dan rintangan dapat diharungi berkat kerjasama guru-guru lain.

Kini, Kak Engku menerima sedikit dugaan dari Allah. Nasihat saya, kuatkan semangat dan jangan berputus asa. Saya sendiri pernah melalui situasi ini pada tahun 1999 dan 2000 (Ketika itu saya mengajar di SK Limpoon 1). Doktor Pakar mengesahkan saya mengidap penyakit Wegener's Granulomatosis dan Hashimoto's thyroiditis. Selama 3 tahun saya pernah menerima rawatan di Hospital Batu Pahat, Hospital Sulatanah Aminah JB, Hospital Pakar Southeran BP, Hospital Mahkota Melaka dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) . Sehingga kini, saya masih mengambil ubatan. Orang nampak saya sentiasa gembira, ceria dan suka berjenaka...Pengalaman saya, hati yang tenang, gembira dan ceria merupakan sebahagian penawar penyakit. Dalam kehidupan, saya mulakan dengan niat yang betul, merancang, melaksana dan melihat hasil. Berdoa jangan ditinggalkan.

Alhamdulillah dengan berkat doa, usaha dan sokongan isteri, anak-anak, rakan-rakan serta keluarga, saya masih berupaya meneruskan kehidupan walaupun kesan sampingan ubatan tak dapat dielakkan.

Terima Kasih kak Engku (dan guru pendidikan khas SK Peserai)...ada hadiah untuk saya.  Saya mendoakan kak Engku kuat semangat dan kembali sihat.

1 comment:

Anonymous said...

kami juga mendoakan semoga kak engku kembali sihat dan cergas seperti dulu.insyaallah setiap penyakit ada ubatnya...

terima kasih juga buat Tuan Haji Sarkawi atas kunjungan beliau..terubat juga rindu kami kat cikgu,hihi...

..with luv --> cikgu-cikgu pendidikan khas SK PESERAI