August 17, 2012

Warkah dari Ayahanda GB

Warkah daripada,
Tuan Guru Besar,
SK Penghulu Salleh,
Mampan, Spg Lima,
83020 Batu Pahat,
Johor.

Ke hadapan anakanda calon-calon UPSR 2012
SK Penghulu Salleh yang dikasihi.
  Anakanda,

Ayahanda doakan agar anakanda dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan UPSR pada 11 hingga 13 September 2012 nanti. Ayahanda harapkan agar anakanda sentiasa tenang dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk peperiksaan yang penting ini.

Anakanda yang dikasihi,

Di samping merayakan Hari Raya Aidilfitri dalam waktu cuti yang panjang (11 hari), anakanda hendaklah tidak lupa mengulang kaji pelajaran. Teruskan membuat latihan ulang kaji yang telah dibekalkan oleh guru-guru sama ada latihan dari Zoom-A, buku latihan atau kertas ujian. Ingat pesanan yang selalu ayahanda sampaikan “Latihan yang kerap dan sistematik akan melahirkan individu yang berkemahiran dan berkecekapan yang cemerlang”. Seterusnya menjadi penjana kecemerlangan ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kejayaan yang hendak diraih sebenarnya memerlukan usaha yang berterusan, tiada kejayaan yang boleh dicapai dengan mudah. Walaupun begitu sekiranya anakanda bersungguh-sungguh dalam apa jua usaha, semua perkara menjadi mudah dan boleh dicapai. Belakang parang diasah lagikan tajam. Anggaplah kesusahan semasa berusaha untuk cemerlang adalah pengalaman manis yang akan dikenang satu hari nanti. Sikap berputus asa dan bertangguh hendaklah dibuang jauh-jauh dari diri anakanda.

Anakanda yang dikasihi,

Anakanda harus tenang sehinggalah hari peperiksaan yang sebenar. Cuba dapatkan sokongan dari ibu bapa, keluarga dan guru-guru. Minta restu dan berbuat baiklah pada mereka. Anakanda juga jangan melupakan jasa mereka yang bertungkus lumus menjadikan anakanda pandai. Semua guru sentiasa bersedia untuk membantu anakanda dalam apa jua keadaan. Mohonlah kemaafan dan doa daripada mereka. Ayahanda yakin mereka semua akan mendoakan anakanda.
Nasihat ayahanda, agar anakanda menjaga pemakanan, kesihatan dan keselamatan diri. Gunakanlah masa yang masih berbaki ini sebaik yang mungkin. Jangan buang masa kerana “Masa Itu Emas”. Rajinlah mengulang kaji dan ketahuilah subjek atau topik yang masih belum dikuasai sepenuhnya.

Akhir  kata sampaikan salam takzim ayahanda kepada ibu bapa atau penjaga anakanda. Semoga kita mencipta rekod terbaik UPSR SK Penghulu Salleh tahun ini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri dan selamat menduduki peperiksaan UPSR. Semoga kejayaan cemerlang dapat digapai.

Daripada  ayahanda,




(HAJI SARKAWI BIN HAJI SATU)
Guru Besar,

SK Penghulu Salleh.
15 Ogos 2012.

1 comment:

Ruziatun said...

Terima kasih atas doa cikgu, mudah-mudahan anak saya (Nurulsyuhadah) menjadi salah seorang yang cemerlang di SKPS.