July 31, 2013

Warkah GB untuk calon UPSR 2013


Warkah daripada,
Guru Besar,
SK Penghulu Salleh.
                                                                                                 
Ke hadapan anakanda calon-calon UPSR 2013 SK Penghulu Salleh yang dikasihi.
Anakanda,

Ayahanda doakan agar anakanda dikurniakan kesihatan yang terbaik untuk menghadapi peperiksaan UPSR pada 10 hingga 12 September 2013 nanti. Ayahanda harapkan agar anakanda sentiasa tenang dan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk peperiksaan yang penting ini.

Anakanda yang dikasihi,

Di samping merayakan Hari Raya Aidilfitri, anakanda hendaklah tidak lupa mengulang kaji pelajaran. Teruskan membuat latihan ulang kaji yang dibekalkan oleh guru-guru sama ada latihan dari Zoom-A, buku latihan atau kertas ujian. Ingat pesanan yang selalu ayahanda sampaikan “Latihan yang kerap dan sistematik akan melahirkan individu yang mahir, cekap dan hebat dalam semua bidang yang dipelajari.
 
Kejayaan yang hendak diraih sebenarnya memerlukan usaha yang berterusan, tiada kejayaan yang boleh dicapai dengan mudah. Walaupun begitu sekiranya anakanda bersungguh-sungguh dalam apa jua usaha, semua perkara menjadi mudah dan boleh dicapai. Kesusahan semasa berusaha mencapai kecemerlangan adalah pengalaman manis yang akan dikenang satu hari nanti. Sikap berputus asa dan bertangguh hendaklah dibuang jauh-jauh dari diri anakanda.

Anakanda yang dikasihi,
Anakanda harus tenang sehinggalah hari peperiksaan yang sebenar. Dapatkan sokongan dari ibu bapa, keluarga dan guru-guru. Minta restu dan berbuat baiklah pada mereka. Anakanda juga jangan melupakan jasa mereka yang bertungkus lumus menjadikan anakanda pandai. Semua guru  bersedia untuk membantu anakanda dalam apa jua keadaan. Mohonlah kemaafan dan doa daripada mereka. Ayahanda yakin mereka semua akan mendoakan kejayaan anakanda.
 
Nasihat ayahanda, agar anakanda menjaga pemakanan, kesihatan dan keselamatan diri. Gunakanlah masa yang masih berbaki ini sebaik yang mungkin. Jangan buang masa kerana “Masa Itu Emas”. Rajinlah mengulang kaji dan ketahuilah subjek atau topik yang masih belum dikuasai sepenuhnya.

Akhir kata sampaikan salam takzim ayahanda kepada ibu bapa atau penjaga anakanda. Semoga kita mencipta rekod terbaik UPSR SK Penghulu Salleh tahun ini.
Selamat Hari Raya Aidilfitri dan selamat menduduki peperiksaan UPSR. Semoga kejayaan cemerlang dapat digapai.

Daripada  ayahanda,
                                                                                                                  

(HAJI SARKAWI BIN HAJI SATU)
Guru Besar,

SK Penghulu Salleh.
31 Julai 2013.


Beberapa Pautan Petua Pelajar Cemerlang:

* PETUA DAN CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG
* Ciri-ciri pelajar cemerlang
* 33 Ciri Pelajar Cemerlang
* 35 Petua menjadi pelajar cemerlang
* Ciri-ciri pelajar cemerlang

Ulangkaji Pelajaran Semasa Raya (UPSR)

No comments: