March 19, 2010

Tuan Haji Mohammad Razi bin Abd Rahim


Pada petang semalam 18.03.2010, saya bersama Tuan Haji Mohammad bin Juhari, Guru Besar SK Seri Padang Sari dan ditemani Encik Sulaiman bin Arjam, Guru Besar SK Senggarang berpeluang menemui bekas guru saya dan Haji Mohammed Juhari semasa bersekolah di SMK Dato' Amar Diraja, Muar pada tahun 1976/77. Beliau yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Mohammad Razi bin Abd Rahim. Jawatan terakhir sebelum bersara ialah  Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Johor.

Tujuan lawatan saya ke rumah Tuan Haji Mohammad Razi untuk mendapatkan maklumat mengenai sejarah penubuhan sekolah-sekolah di Batu Pahat khasnya penubuhan Sekolah Kebangsaan Peserai.

Kunjungan kami telah disambut dengan penuh ceria oleh Tuan Haji Mohammad Razi dan Isteri. Rupanya beliau telah menyediakan bahan (5 buah buku) yang sangat berguna untuk saya membuat rujukan tentang sejarah penubuhan sekolah-sekolah di Johor.
Kami begitu kagum dengan kesungguhan bekas guru kami ini yang masih giat menulis berkaitan sejarah pendidikan beliau. Koleksi buku-buku yang ada di rumah beliau ibarat sebuah perpustakaan yang lengkap dengan sistem pengelasan dewey. Sebuah geleri sejarah keluarga beliau juga merangsang diri saya untuk menyimpan koleksi peribadi.

Kini, saya ada maklumat yang lebih jelas tentang sejarah SK Peserai:
  • Sekolah Melayu Peserai ditubuhkan pada tahun 1909
  • Sekolah Melayu Peserai merupakan sekolah melayu ke 33 ditubuhkan di Johor
  • Sekolah Melayu Peserai merupakan sekolah ke 8 ditubuhkan di Batu Pahat
  • Pada tahun 1909 terdapat 3 buah sekolah melayu ditubuhkan iaitu Sekolah Melayu Peserai, Sekolah Melayu Minyak Beku dan Sekolah Melayu Telok Kerang, Pontian.
  • Guru Besar pertama ialah Encik Baharee bin Mohamed Yasin
Saya belum membaca keseluruhan buku-buku yang dipinjam. Terima kasih Cikgu Haji Mohammad Razi dan Isteri. InsyaAllah, saya dan isteri akan datang sekali lagi ke rumah tuan untuk memulang buku-buku tuan.

1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih di atas penulisan saudara. Sesunguhnya minat saudara yang telah saudara lahirkan menjadikan terlalu banyak kekurangan yang harus saya hulurkan. Bahkan saya amat bersyukur kepada ilahi kerana telah mendapat seorang sahabat dan pengunjung yang mempunyai minat yang sama mudah-mudahan perkongsian maklumat akan dapat dteruskan.

yang benar...
hj mohammad razi abd rahim